Wednesday, March 14, 2012

BELALANGKAH KITA?






"Bekalan air akan dicatu bermula jam 8.00 pagi hari rabu sehingga 4.00 petang hari khamis"

Apabila dengar pengumuman di televisyen,semua orang sibuk mencari bekas kosong untuk tadah air. Ada juga manusia yang buat bena tak bena dengan pengumuman itu. Maka hendak dijadikan cerita penuhlah rumah aku dengan bekas tadahan air. Makcik aku pula kata , tempat kami tak terlibat dengan krisis air.Jadi dia tak ambil pusing pun pasal nak tadah air.

Tiba-tiba aku teringat satu cerita yang aku suka baca waktu zaman kanak-kanak dulu. Cerita pasal belalang dan semut. Mungkin ramai yang ingat kisah ini. Tapi tidak mengapa. Aku cuma ingin memperingatkan kembali kepada mereka yang lupa cerita belalang dengan semut  ni.

Ada satu kawasan dekat dalam hutan, tinggal beberapa ekor semut dan seekor belalang. Belalang ni berkawan baik dengan seekor semut. Setiap hari,mereka akan bermain dan bernyanyi bersama-sama.Sehinggalah suatu hari,semut berkata kepada belalang,

"Belalang, belalang,musim sejuk semakin menghampiri kawasan kita. Jomlah kita bersama-sama mencari makanan. Kita kumpulkan makanan banyak-banyak dalam rumah kita" bicara semut yang budiman.

"Lambat lagilah musim sejuk. Jomlah kita main puas-puas.Lepas itu barulah kita pergi mencari makanan",balas belalang dengan selamba.

"Tidak mengapalah, jika kau tak mahu ikut aku. Kau mainlah sendirian. Aku ingin bersama keluargaku mencari makanan", kata semut sambil meninggalkan belalang seekor diri.

Hari demi hari, semut dan keluarganya gigih mencari makanan.Tidak seperti belalang yang malas dan berterusan bermain. Malahan belalang sempat mengejek semut yang sedang mengumpulkan makanan.

Akhirnya, musim sejuk pun tiba. Semut dan keluraganya tidak berasa bimbang tentang makanan kerana bekalan makanan yang dikumpulkan sebelum musim sejuk tiba, sudah mencukupi untuk mereka. Belalang yang berasa lapar mula mengetuk pintu rumah semut.

Semut tidak dapat memberikan makanan kepada belalang walaupun selepas dipujuk rayu oleh belalang. Bukan kerana semut kedekut.Tetapi bekalan makanan yang ada hanya cukup untuk diri  dan keluarganya sahaja.Hendak dipendekkan cerita, akhirnya belalang mati kelaparan dalam suasana musim sejuk itu.

Manusia sering bertangguh dalam mencari keampunan Allah SWT. Manusia sering berulangkali mengatakan mereka masih muda, lambat lagi hendak mati. Masa masih panjang. Dan selalu berangan -angan bahawa mereka pasti sempat bertaubat sebelum malaikat maut datang menjemput.

Adakah kita ingin jadi seperti belalang? Malas mengumpulkan makanan bagi menghadapi musim sejuk. Dalam konteks manusia, kita malas mengumpulkan amal kebaikan bagi menghadapi hari pembalasan. 

Apakah kesudahan kita harus seperti belalang? Malas mengumpul makanan,lalu berasa lapar dan akhirnya mati. Dalam konteks manusia,malas berbuat amal, tiada bekalan untuk dibawa ke negeri akhirat dan akhirnya mati sia-sia.

Allah swt menciptakan manusia sebaik-baik kejadian. Dikurniakan akal dan fikiran. Rasulullah saw turut meninggalkan dua warisan berharga untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam melayari bahtera kehidupan yang tidak lepas daripada gelombang ujian dan cabaran. Adakah kita ingin mensia-siakan peluang yang datang cuma sebentar?

Buang sifat malas berusaha memohon ampun dan rahmatNya. Buanglah perasaan suka bertangguh  untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.Ayuh sama-sama kita sediakan "payung"bekalan amal, sebelum "hujan" maut turun menimpa kita. Apabila ajal sudah pun tiba, ia tak akan terlewat mahupun tercepat walau sesaat.

 Abdullah bin Umar radhiyallahu’anhuma berkata : Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memegang kedua pundakku dan mengatakan, ”Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau orang yang singgah di perjalanan.” Ibnu ‘Umar berkata, “Kalau engkau berada di waktu pagi jangan sekedar menunggu datangnya waktu sore. Kalau engkau berada di waktu sore jangan sekedar menunggu datangnya waktu pagi. Manfaatkanlah waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan gunakanlah masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (HR. Bukhari. 6053, Kitab ar-Raqaa’iq)sumber

P/S:peringatan buat diri yang selalu alpa dan leka dengan palsu dunia..


2 comments: