Friday, February 26, 2010

Pesanan Orang Berhikmah

 

 Ketahuilah, sesungguhnya  dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai yang telah karam di dalamnya. jika engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama TAQWA, muatannya adalah IMAN dan layarnya adalah TAWAKKAL kepada Allah

 Janganlah engkau menelan saja kemanisan sesuatu makanan dan janganlah memuntahkan sahaja kerana pahitnya sesuatu makanan itu,kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit belum tentu menimbulkan kesengsaraan

 Bukanlah satu kebaikan namanya bila mana engkau mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya, kerana ia tidak ubah seperti orang yang mencari kayu bakar, tetapi setelah banyak, dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih mahu menambahkannya

Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.
Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
  Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
    Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
    Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
Seseorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti
  Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
Janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
Bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
 Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
 Makanlah makananmu bersama sama dengan orang - orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
 Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
Bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ (riak) yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.
Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.
Bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu
Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. 
Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.



p/s kakak: bukan sekadar renungan tapi sebagai penghayatan (pesanan lukmanul hakim buat anaknya)

Tuesday, February 23, 2010

BIARKAN!!!!!





biarkan kepahitan itu pergi, agar kemanisan itu mengisi
biarkan kekecewaan itu berlalu, agar kegembiraan mewarnai
biarkan kegelisahan lenyap, jangan kita hilang semangat
biarkan penderitaan itu menyapa,agar kekuatan kita dijana semula
biarkan diri ini derita, agar kau tahu betapa pahitnya derita itu
agar kau sedar kesengsaraan itu, tidak sama bahkanhanyalah secebis dari penderitaan Rasulullah S.A.W

Allah tidak sesekali menzalimi hambaNya
tapi manusia sendiri yang berlaku zalim
cahaya, kelam,pahala & dosa,kau berupaya memilihnya
walau kadangkala tersasar lantaran ajakan nafsu
namun peluang dariNya sentiasa ada
namun kasih sayangNya sentiasa memayungi

diturunkan ad-din menghiasi akal
dianugerahkan akal menghalusi akhlak
dikurniakan akhlak mencantikkan pekerti
menjadi sebaik-baik ummat
("sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian";at-Tin,ayat 4)
tunduk sebagai hamba, berjalan sebagai khalifah
menyusuri gerbang kehidupan, mencari sebutir permata iman
buat menyemai pohonan taqwa
agar dapat berteduh dari kepanasan nafsu
agar dapat berlindung dari angin hasutan syaitan
dalam mencari keredhaan Allah S.W.T


p/s kakak: katakan tidak pada "wahan"~cintakan keduniaan, takutkan kematian.

Friday, February 12, 2010

Pemuda Zaman Dahulu





Berapakah umur anda sekarang? 19 tahun? 20 tahun? Apakah sumbangan anda pada agama?

Jika ada dua orang pemuda ansar begitu sibuk menyebarkan Islam, apakah pula yang dilakukan oleh pemuda zaman sekarang?

Masih lagi ingin berfoya-foya dan bersenang lenang?
Masih lagi cintakan dunia dan takutkan mati?

Tahukah anda, terdapat kisah yang menarik mengenai dua orang PEMUDA ansar yang menyertai peperangan Badar. Mereka adalah Muadz bin Amr dan Muawwidz bin Afra'. Peperangan Badar di mulai dengan perlawanan satu lawan satu di antara tentera Islam dan bukan Islam. Apabila Utbah bin Rabi'ah (seorang panglima@pembesar bukan islam) mencabar untuk beradu tenaga, mereka berdua turut keluar bersama Abdullah bin Rawahah.

Ketika di dalam peperangan , Abdul Rahman bin Auf berada bersama dengan kedua pemuda ansar tersebut. Di dalam hatinya (Abdul Rahman), beliau mengharapkan orang yang berada di kiri dan kanan beliau adalah orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman dalam peperangan.

Namun, sesuatu perkara telah berlaku justeru mengubah fikiran beliau. Salah seorang daripada pemuda ansar tersebut datang membisikkan sesuatu kepada Abdul Rahman supaya tidak didengari oleh pemuda yang kedua.

Katanya " Wahai Pakcik, adakah Pakcik kenal Abu Jahal? Aku dengar dia adalah orang yang paling banyak menyakiti Muhammad. Tunjukkan dia kepadaku. Aku ingin membunuhnya." Begitulah kemarahan pemuda tersebut kepada orang yang telah banyak menyakiti Rasulullah yang dikasihinya.

Abdul Rahman bin Auf terkejut dengan pertanyaan tersebut dan beliau berjanji untuk menunjukkan Abu Jahal kepadanya. Selepas itu, pemuda kedua juga menanyakan perkara yang sama kepada Abdul Rahman bin Auf. Pada ketika itu, Abdul Rahman bin Auf berasa lebih tenang berada di tengah-tengah pemuda tersebut.

Abu Jahal di kawal ketat oleh orang-orangnya. Abdul Rahman menunaikan janjinya dengan menunjukkan kepada dua remaja tersebut yang mana satu Abu Jahal. Belum sempat Abdul Rahman menghabiskan percakapannya, kedua-duanya sudah melompat menuju ke tempat Abu Jahal. Mereka merempuh barisan tentera bukan Islam sambil menebas kiri dan kanan dengan pedang mereka. Akhirnya, mereka berjaya sampai kepada Abu Jahal dan memukul Abu Jahal dengan pedang mereka sehingga Abu Jahal jatuh.

Semua orang tidak menyangkakan tindakan kedua pemuda tersebut. Abu Jahal telah cedera parah namun masih lagi bernyawa. Muadz bin Amr, salah seorang pemuda tersebut berada di tengah-tengah tentera kuffar dan telah di bunuh oleh Ikrimah iaitu anak Abu Jahal yang berada berhampiran dengan ayahnya. Manakala, Muawwidz bin Afra' sempat berundur tetapi malangnya, tangan beliau terpotong dan masih tergantung di badan. Beliau membalut tangannya itu dan terus berperang. Namun, tangannya itu menganggu pergerakannya. Lantas, beliau memijak tangannya itu dengan kaki dan memutuskannya agar beliau lebih mudah bergerak. Dia terus berperang dan akhirnya syahid dalam peperangan Badar.

Begitutlah hebatnya iman pemuda-pemuda tersebut. Walaupun masih belasan tahun, namun telah memainkan peranan yang begitu penting di dalam peperangan dalam menegakkan Islam.



p/s kakak: Contohilah pemuda-pemuda ansar tersebut. Pelik bilamana hari ini, pemuda zaman ini sibuk menjadi artis.( sibuk cari populariti diri dan tak kurang juga bilanagn yang membuat kerosakan di muka bumi ini).Sedarlah pemuda zaman ini!!!



Hakikat Kehidupan



Ketika bebas di alam remaja, impianku tidak mengenal batasan-aku lantang menuturkan:

"aku ingin mengubah dunia"

Bila usiaku menginjak dewasa dan aku semakin matang, kusedari...rupa-rupanya dunia tidak akan berubah. Lalu aku bataskan jangkauan.Memadailah jika aku dapat mengubah negara.
Namun ini juga tidak kesampaian....

Di kala usia meniti senja, pilihan terakhirku adalah untuk mengubah keluarga dan mereka yang terdekat.Malang seribu kali malang..... mereka juga tidak mampu kuubah...

Kini, di pembaringan menanti maut, baru kusedari (mungkin buat pertama kalinya)..
andai dahulu yang pertama kuubah adalah diriku sendiri- dengan menunjukkan teladan yang baik, pasti aku dapat mengubah keluarga....

Lantas, dengan sokongan mereka, pasti aku dapat mengubah negara...
dan siapa tahu..mungkin suatu saat aku juga bisa mengubah dunia.


p/s kakak:nak ubah diri orang lain jadi baik mesti seiringan dengan ubah diri sendiri jadi baik

Syukur Dan Redha Dengan KetentuanMU

Alhamdulillah.Lafaz inilah yang sering disebut oleh seorang mukmin tatkala mendapat nikmat. Kadang-kadang ucapan ini dizahirkan tanpa di selangi dengan rasanya pada hati. Untuk entri pertama ini, suka untuk kakak kongsikan sebuah kisah perjalanan hidup seorang sahabat. Dimana kisahnya menunjukkan rasa syukur dan redha dengan setiap ketentuan Ilahi. Bukan untuk memberitahu tapi sekadar untuk berkongsi apa yang kakak tahu.

Kenalkah pada 'Urwah ? ( tak kenal maka tak tahu)

Pasti ramai yang mengangguk-anggukakan kepala dan tak kurang hebatnya ramai juga yang menggeleng-gelengkan kepala jika diajukan persoalan ini. Bagi yang belum mengenali 'Urwah
mari kita kenali 'Urwah.

'Urwah adalah putera pasangan dua orang sahabat Rasulullah S.A.W yang sangat terkenal iaitu al-Zubair bin al'Awwam dan isterinya Asma' Binti Abu Bakar as-Siddiq.

Sewaktu kecilnya, 'Urwah selalu tinggal di rumah Aisyah Binti Abu Bakar. Daripada Aisyah lah 'Urwah menimba ilmu hadith, tafsir, fiqah,faraid dan berbagai ilmu lain. Ketika menginjak dewasa, 'Urwah diakui sebagai salah seorang daripada tujuh fuqaha Madinah (al-fuqaha al-sab'ah) yang menjadi rujukan fatwa sebelum itu. 'Urwah bin al-Zubair meninggal dunia pada tahun 94 H.


Kisahnya seorang 'Urwah bermula (part yang ingin dikongsikan)....

Suatu hari, 'Urwah diundang oleh khalifah Walid bin Abdul Malik untuk datang ke istananya di Syam. Dalam perjalanan, 'Urwah merasakan sesuatu terjadi pada kakinya. Tidak lama kemudian timbul bisul dikakinya lalu pecah dan menjadi sebuah luka. Tiba di Syam,Khalifah mendatangkan seorang tabib untuk memeriksa luka tersebut. Tabib itu kemudiannya menyimpulkan bahawa luka itu merupakan suatu jangkitan yang boleh merebak keseluruh anggotanya.
Dan satu-satu cara untuk menghentikan jangkitan tersebut adalah dengan memotong kaki 'Urwah.

Hendak dijadikan cerita ,'Urwah bersetuju kakinya dipotong. Tabib menyarankan agar dia memakan ubat bius terlebih dahulu sebelum operasi pemotongan dilakukan agar dia tidak merasa sakit. Tetapi 'Urwah menolak. ( kita pada zaman sekarang, kalau boleh telan berdos-dos ubat bius pun sanggup,asalkan sakit itu tidak dirasai)

Dia ingin tetap berada dalam kesedaran sehingga dapat mengingati Allah meskipun harus merasa kesakitan yang amat sangat. Akhirnya tabib tersebut memotong kaki 'Urwah dengan gergaji, sementara 'Urwah dengan penuh sabar menyaksikan hal itu tanpa mengeluarkan suara kesakitan.

Pada waktu yang sama, seorang anak 'Urwah yang ikut bersamanya dalam perjalanan tersebut mengalami kemalangan. Seekor keldai telah menendangnya sehingga mati. Apabila mendengar berita sedih itu, 'Urwah tidak memberi sebarang komen. Hanya ketika dalam perjalanan pulang ke Madinah terdengar 'Urwah berkata:

"ya Allah, Engkau memberiku tujuh anak. Jika Engkau mengambil seorang, Engkau masih meniggalkanku enam yang lainnya. Dan Engkau meberikanku empat anggota (dua tangan dan dua kaki).Jika Engkau mengambil salah satunya, Engkau masih meninggalkan tiga yang lain".

Masya Allah. Tokoh besar ini masih dapat menemui alasan untuk memuji Allah meskipun dalam musibah yang sangat memilukan hati.

Jika diteliti pada zaman sekarang, memang susah hendak cari manusia seperti 'Urwah yang sentiasa ingat akan Allah walau disaat hatinya gundah.Rasa syukur tidak pernah putus mengalir dalam dirinya. Mungkin masih ada manusia seperti 'Urwah di akhir zaman ini, tetapi dalam bilangan yang sangat kecil. Tergolongkah kita dalam bilangan yang sangat kecil ini? Korang jawablah sendiri sebab masing-masing punya iman.




p/s kakak:boleh rujuk majalah solusi vol.14