Tuesday, October 26, 2010

Biarkan!!!!


Biar kepahitan itu pergi, agar kemanisan itu mengisi

Biar kekcewaan berlalu, agar kegembiraan mewarnai

Biar kegelisahan lenyap, jangan kita hilang semangat

Biar penderitaan itu menyapa,agar kekuatan kita menjana semula

Biarlah diri ini derita, agar kau tahu keperitan derita itu.

Agar kau sedar kesengsaraan ini, tidak sama bahkan hanya secebis  dari penderitaan Rasulullah s.a.w

Allah tidak pernah sesekali menzalimi hambaNya

Tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri

Cahaya kelam pahala dan dosa. Dikau berupaya memilihnya

Walau kadangkala tersasar lantaran pautan nafsu...

Namun pelunag dariNya sentiasa ada

Namun kasih sayangNya sentiasa memayungi

Diturunkan ad-din menghiasi akal

Dianugerahkan akal memperhalusi akhlak

Dikurniakan akhlak mencantikkan pekerti

Menjadi sebaik-baik umat, tunduk sebagai hamba

Berjalan sebagai khalifah

Menyusuri kehidupan mencari sebutir permata ’iman’

Menyemai pohonan ‘taqwa’

Agar dapat berteduh daripada kepanasan ‘nafsu’

Agar dapat berlindung daripada angin hasutan syaitan

Dalam mencari keredhaan Allah s.w.t
 

Tuesday, October 5, 2010

NAMAKU REMAJA



Saya sedang berada di alam remaja. Anda bagaimana? Jika anda rasa anda remaja, maka anda remaja! Bermakna kita dalam peringkat umur yang hampir sama. Jika 10 tahun lalu, sebut saja remaja, saya tidak pasti apakah perkara pertama yang akan terbit dari kotak pemikiran orang ramai. Tapi jika disebut ‘remaja’ dalam suasana zaman sekarang, perkara yang mungkin terbit dari kotak pemikiran orang ramai pasti berbagai-bagai. Rokok, anak luar nikah, rempit. Itu yang negatifnya. Ada juga yang positif. Ramai juga remaja yang mula berjinak-jinak mengenal usrah, ada juga yang berminat menyertai program-program yang membina jati diri.

Kita remaja yang bagaimana? Yang negatif atau yang positif ? Dan kita memilih untuk menjadi remaja yang negatif atau positif? Ayuh berusaha menjadi remaja yang berkualiti. Remaja yang dikatakan berkualiti ini bukan hanya tertumpu kepada satu jenis remaja sahaja. Nak jadi remaja yang bagus tidak menunggu kita sempurna. Tidak menunggu semua remaja menjadi ustaz dan ustazah. Kalau kita sedang belajar ilmu kejuruteraan, jadilah jurutera yang bervisi kepada akhirat. Jurutera yang tidak lupa pada solat dan al-quran sebagai panduan hidup. Kalau sedang belajar ilmu perubatan, kelak jadilah seorang doktor yang punya akhlak islamiah. Kalau sedang belajar ilmu pendidikan, bila jadi guru nanti jadilah guru yang ikhlas dan menjadi qudwah hasanah kepada pelajar kita .Barulah dunia ini aman dipimpin dan dihuni oleh ustaz, ustazah, jurutera, doktor , guru yang kesemuanya berkualiti untuk kejayaan dunia dan akhirat kelak!
Remaja yang punya visi ke arah kebahagiaan hidup di akhirat ini sifatnya cukup berhati-hati. Jika nak berkata-kata sekalipun, dia fikir dulu adakah kata-kata dia itu memberi manfaat kepada diri sendiri dan  orang lain, atau kata-kata itu hanya sesuatu yang sia-sia saja. Nak ber’yahoo messenger’ sekalipun dijaga batas-batas setiap berkataan yang ditulis. Nak berfacebook sekalipun, dia berhati-hati dengan apa yang dikongsi dalam facebook.

” Yang ini terbuka aurat, tak boleh upload gambar ni dalam facebook.”

” Yang ini menjatuhkan maruah rakan kita, maka tidak boleh dikongsi dengan rakan di facebook.”

Ikon Remaja
Berkongsi sedikit tentang seorang hamba Allah yang layak kita jadikan ikon kepada remaja. Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah s.a.w. Namanya Ta’labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam,beliau selalu mengikut Rasulullah mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah akan khabarkan kepada Ta’labah. Suatu hari Rasulullah menyuruh Ta’labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Ta’labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka ditiup angin dan Ta’labah terlihat seorang perempuan sedang mandi. Ta’labah terus berkata;

” A’uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril beritahu kepada Rasulullah s.a.w! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah…”

Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada gua. Ta’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Rasulullah s.a.w menanti kepulangan Ta’labah beberapa hari namun Ta’labah tidak kunjung tiba lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan Saidina Umar untuk mencari Ta’labah dan Saidina Umar terjumpa Ta’labah di tempat dia sembunyi tadi. Apabila Rasulullah s.a.w pergi bertemu Ta’labah, Ta’labah sedang terlentang lalu Rasulullah s.a.w meriba kepala Ta’labah tetapi Ta’labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya;

” Kenapa wahai Ta’labah?”

” Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu,wahai Rasulullah” kata Ta’labah.

” Apa yang kamu mahu Ta’labah?”

” Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah”

” Apa cita-cita kamu wahai Ta’labah?”

” Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku.”

Lalu Rasulullah s.a.w berkata:

” Wahai Ta’labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu.” 

Lalu Ta’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah s.a.w. Yang menariknya, ketika mayat Ta’labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Ta’labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Ta’labah dalam keadaan berjalan yang agak tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya:

” Wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?”

Rasulullah menjawab:

” Kamu tidak melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Ta’labah ke kubur.”

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Ta’labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah walaupun dia tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah s.w.t. Akhirnya matinya di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Namun cerita-cerita ini tidak lekat dalam jiwa remaja kita. Ta’labah nyata berbeza sekali dengankebanyakan  remaja 17 tahun di zaman sekarang.

Mari contohi Ta’labah
Mari kita contohi Ta’labah. Mari contohi ketakutan beliau terhadap dosa-dosanya, walaupun dosa tersebut tidak disengajakan. Mari contohi Ta’labah yang punya rasa malu dengan Rasulullah atas dosa-dosanya, walaupun dosa tersebut tidak disengajakan. Mari contohi kekuatan Ta’labah yang tidak putus memohon ampun dari Allah sehingga saat dia menghembus nafas terakhir.

Taubat Jalan Terbaik….
Masih belum terlambat mendidik jiwa menjadi seorang remaja, sekaligus seorang hamba Allah yang takut dengan dosa-dosa yang dilakukan. Ya, mungkin banyak dosa yang telah kita lakukan di alam remaja ini, namun kesilapan itu bukan pengakhiran kepada jalan hidup kita sekarang, tapi ia boleh menjadi permulaan kepada jalan hidup yang lebih baik. Taubat itu jalan terbaik kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang bertaubat setelah dia melakukan dosa. Allah kan Maha Pengampun. Allah juga Maha Menolong jika kita benar-benar hendak berubah. Cuma kita yang perlu cari masa berdoa dengan kusyuk mohon keampunan dan kekuatan untuk berubah menjadi lebih baik. Yang mana melalaikan kita, tinggalkan. Yang mana kita rasa memberi kebaikan kepada kita, teruskan. Kerana manusia ini berbeza kemampuannya, maka pilihlah jalan hidup yang terbaik untuk diri sendiri supaya hidup ‘disana’ nanti lebih bahagia. InsyaAllah~


P/S: kredit kpd azzariyat,com & halaqahsentuhanqalbu