Wednesday, June 30, 2010

J.U.L.A.I.B.I.B



Kisah ini mungkin tidaklah mashyur dikalangan kalian.....
Julaibib sahabat yang sangat miskin. Lahir pula dari golongan melarat. Dalam banyak-banyak sahabat Rasulullah s.a.w.,  boleh dikatakan Julaibib tidak dikenali sangat. Namun sebenarnya dia dekat dihati Rasulullah s.a.w. Harta julaibib hanyalah pakaian lusuh yang dipakai. Tiada berkasut. Tiada tempat berteduh.Hanya  masjid tempat menumpang. Malamnya berbantalkan lengan,  bertilamkan kerikil dan  pasir. Perutnya sentiasa kelaparan. Minumannya hanyalah air kolam yang sentiasa dicedok dengan tangan.
 Namun, dia seorang yang tekun beribadah dan taat kepada Allah S.W.T. Itulah nilai dirinya. Iman dan akhlak memayungi diri. Suatu hari dia melintasi Rasulullah s.a.w. lalu Rasulullah s.a.w memanggilnya. Rasulullah s.a.w bertanya kepada Julaibib, sama ada dia mahu bernikah ataupun tidak. Dengan rendah diri, julaibib menjawab, siapalah yang hendak menikahkan puterinya dengan dirinya yang tidak punya nama dan harta.
Beberapa hari kemudian Rasulullah s.a.w. bertemu lagi dengan Julaibib. Rasulullah s.a.w bertanyakan pertanyaan yang sama dan dia pun menjawab dengan jawapan yang sama. Pada pertemuan yang ketiga, Rasulullah s.a.w masih mengajukan persoalan yang sama dan jawapannya.....masih lagi sama dengan yang sebelumnya. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Wahai Julaibib, pergilah rumah si fulan bin si fulan (Rasulullah s.a.w menyebut nama seorang ansar) lalu katakan kepadanya: Rasulullah s.a.w. menyampaikan salam untukmu dan memintamu mengahwinkanku dengan anak perempuanmu”
Sahabat ansar yang dimaksudkan berasal daripada keluarga terhormat. Hendak dipendekkan cerita, maka pergilah Julaibib mengetuk pintu rumah orang ansar tersebut dengan membawa pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Sahabat ansar itu berkata” Semoga kesejahteraan tercurah buat Rasulullah s.a.w. Tetapi bagaimana aku boleh mengahwinkan puteriku denganmu. Sedangkan kamu tidak memiliki harta dan pangkat?”
Dari dalam rumah, puterinya yang mukminah mendengar apa yang dikatakan oleh Julaibib tentang pesanan Rasulullah s.a.w. Puteri yang mukminah itu segera berkata kepada ayahnya” Apakah ayah sanggup menolak permintaan Rasulullah s.a.w? Tidak . Demi Zat yang jiwaku berada ditanganNya!”. Dia sendiri dengan rela hati mahu menyerahkan dirinya kepada lelaki pilihan Rasulullah s.a.w.
Akhirnya berlangsunglah sebuah perkahwinan yang penuh barakah. Mereka hidup bahagia di dalam ketakwaan dan ketaatan kepada Allah dan RasulNya.Tidak lama kemudian, datangnya seruan jihad. Julaibib turut serta dalam peperangan tersebut dan berjaya menewaskan tujuh orang musuh. Namun begitu, julaibib  akhirnya syahid .
Setelah peperangan berakhir, Rasulullah memeriksa semua mangsa yang telah terkorban. Para sahabat memberitahu satu persatu nama2 mereka yang terkorban tetapi yang peliknya nama Julaibib tiada dalam senarai. Hanya kerana dia tidak dikenali dikalangan sahabat. Namun nama Julaibib terpahat di hati Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tapi kini aku telah kehilangan Julaibib”
Rasulullah mendapati jasad Julaibib penuh diselaputi debu. Rasulullah mengusap debu daripada wajahnya sambil berkata:
“Engkau telah mebunuh tujuh orang, lalu engkau sendiri kini terbunuh. Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu. Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu”.
Mulialah Julaibib dengan ingatan abadi oleh Rasulullah s.a.w  sendiri.  Cintanya pada Allah dan Rasul berbalas cinta agung yang hakiki.

Saturday, June 26, 2010

MEMBUAT PERHITUNGAN DENGAN ALLAH


Jika harta yang hilang dari diri seseorang, maka tiada apa pun yang hilang, Jika kesihatan yang hilang dari diri seseorang, maka ada sesuatu yang hilang, Tetapi jika akhlak yang hilang dari diri seseorang, maka segalagalanya telah hilang dari
diri seseorang.


Dikisahkan, bahawasanya di waktu Rasulullah s.a.w. sedang asyik bertawaf di Ka'bah, beliau mendengar seseorang di hadapannya bertawaf, sambil berzikir: "Ya Karim! Ya Karim!" Rasulullah s.a.w. menirunya membaca "Ya Karim! Ya Karim!" Orang itu lalu berhenti di salah satu sudut Ka'bah, dan berzikir lagi: "Ya Karim! Ya Karim!" Rasulullah s.a.w. yang berada di belakangnya mengikut zikirnya "Ya Karim! Ya Karim!" Merasa seperti diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan terlihat olehnya seorang lelaki yang gagah, lagi tampan yang belum pernah dikenalinya. Orang itu lalu berkata: "Wahai orang tampan! Apakah engkau memang sengaja memperolok-olokkanku, kerana aku ini adalah orang Arab badwi? Kalaulah bukan kerana ketampananmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan aku laporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah."

Mendengar katakata orang badwi itu, Rasulullah s.a.w. tersenyum, lalu bertanya: "Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?" "Belum," jawab orang itu. "Jadi bagaimana kau beriman kepadanya?" "Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya," kata orang Arab badwi itu pula. Rasulullah s.a.w. pun berkata kepadanya: "Wahai orang Arab! Ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat!" Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya.

"Tuan ini Nabi Muhammad?!" "Ya" jawab Nabi s.a.w. Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya:"Wahai orang Arab! Janganlah berbuat serupa itu. Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada tuannya, Ketahuilah, Allah mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang takabbur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman, dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya."Ketika itulah, Malaikat Jibril a.s. turun membawa berita dari langit dia berkata: "Ya Muhammad! Tuhan AsSalam mengucapkan salam kepadamu dan berfirman: "Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun yang besar!" Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi.

Maka orang Arab itu pula berkata: "Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan dengannya!" kata orang Arab badwi itu. "Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan Tuhan?" Rasulullah bertanya kepadanya.

“ Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahNya, ” jawab orang itu.

“Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhiungkan betapa keluasan pengampunanNya”

“Jika Dia memperhitungkan kekikiran hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawananNya!'


Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w. pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu, air mata beliau meleleh membasahi Janggutnya. Lantaran itu Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata: "Ya Muhammad! Tuhan AsSalam menyampaikan salam kepadamu, dan berfirman: Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangismu, penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga la bergoncang. Katakan kepada temanmu itu,bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampuni semua kesalahannya dan la akan menjadi temanmu di syurga nanti!" Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita tersebut. la lalu menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya.