Wednesday, June 30, 2010

J.U.L.A.I.B.I.B



Kisah ini mungkin tidaklah mashyur dikalangan kalian.....
Julaibib sahabat yang sangat miskin. Lahir pula dari golongan melarat. Dalam banyak-banyak sahabat Rasulullah s.a.w.,  boleh dikatakan Julaibib tidak dikenali sangat. Namun sebenarnya dia dekat dihati Rasulullah s.a.w. Harta julaibib hanyalah pakaian lusuh yang dipakai. Tiada berkasut. Tiada tempat berteduh.Hanya  masjid tempat menumpang. Malamnya berbantalkan lengan,  bertilamkan kerikil dan  pasir. Perutnya sentiasa kelaparan. Minumannya hanyalah air kolam yang sentiasa dicedok dengan tangan.
 Namun, dia seorang yang tekun beribadah dan taat kepada Allah S.W.T. Itulah nilai dirinya. Iman dan akhlak memayungi diri. Suatu hari dia melintasi Rasulullah s.a.w. lalu Rasulullah s.a.w memanggilnya. Rasulullah s.a.w bertanya kepada Julaibib, sama ada dia mahu bernikah ataupun tidak. Dengan rendah diri, julaibib menjawab, siapalah yang hendak menikahkan puterinya dengan dirinya yang tidak punya nama dan harta.
Beberapa hari kemudian Rasulullah s.a.w. bertemu lagi dengan Julaibib. Rasulullah s.a.w bertanyakan pertanyaan yang sama dan dia pun menjawab dengan jawapan yang sama. Pada pertemuan yang ketiga, Rasulullah s.a.w masih mengajukan persoalan yang sama dan jawapannya.....masih lagi sama dengan yang sebelumnya. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Wahai Julaibib, pergilah rumah si fulan bin si fulan (Rasulullah s.a.w menyebut nama seorang ansar) lalu katakan kepadanya: Rasulullah s.a.w. menyampaikan salam untukmu dan memintamu mengahwinkanku dengan anak perempuanmu”
Sahabat ansar yang dimaksudkan berasal daripada keluarga terhormat. Hendak dipendekkan cerita, maka pergilah Julaibib mengetuk pintu rumah orang ansar tersebut dengan membawa pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Sahabat ansar itu berkata” Semoga kesejahteraan tercurah buat Rasulullah s.a.w. Tetapi bagaimana aku boleh mengahwinkan puteriku denganmu. Sedangkan kamu tidak memiliki harta dan pangkat?”
Dari dalam rumah, puterinya yang mukminah mendengar apa yang dikatakan oleh Julaibib tentang pesanan Rasulullah s.a.w. Puteri yang mukminah itu segera berkata kepada ayahnya” Apakah ayah sanggup menolak permintaan Rasulullah s.a.w? Tidak . Demi Zat yang jiwaku berada ditanganNya!”. Dia sendiri dengan rela hati mahu menyerahkan dirinya kepada lelaki pilihan Rasulullah s.a.w.
Akhirnya berlangsunglah sebuah perkahwinan yang penuh barakah. Mereka hidup bahagia di dalam ketakwaan dan ketaatan kepada Allah dan RasulNya.Tidak lama kemudian, datangnya seruan jihad. Julaibib turut serta dalam peperangan tersebut dan berjaya menewaskan tujuh orang musuh. Namun begitu, julaibib  akhirnya syahid .
Setelah peperangan berakhir, Rasulullah memeriksa semua mangsa yang telah terkorban. Para sahabat memberitahu satu persatu nama2 mereka yang terkorban tetapi yang peliknya nama Julaibib tiada dalam senarai. Hanya kerana dia tidak dikenali dikalangan sahabat. Namun nama Julaibib terpahat di hati Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tapi kini aku telah kehilangan Julaibib”
Rasulullah mendapati jasad Julaibib penuh diselaputi debu. Rasulullah mengusap debu daripada wajahnya sambil berkata:
“Engkau telah mebunuh tujuh orang, lalu engkau sendiri kini terbunuh. Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu. Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu”.
Mulialah Julaibib dengan ingatan abadi oleh Rasulullah s.a.w  sendiri.  Cintanya pada Allah dan Rasul berbalas cinta agung yang hakiki.

No comments:

Post a Comment